MENGAPA PENGGUNA PERLU MENGAMBIL BERAT SOAL VIRUS??

Menurut laporan terbaru Symantec mengenai ancaman keselamatan internet, jumlah dan penyebaran kod program yang merosakkan (malicious code) meningkat dengan pantasnya tahun lalu.

Ini menyebabkan Symantec perlu mencipta lebih daripada 1.6 juta malicious code signature yang baru untuk membantu menghalang 245 juta cubaan serangan malicious code di seluruh dunia pada setiap bulan, sepanjang tahun lalu.

Ancaman terhadap komputer menjadi semakin rumit malah bentuk ancaman berkembang lebih daripada sekadar virus. Ancaman dari aktiviti online yang makin berkembang juga sedikit sebanyak mengubah konsep perlindungan komputer untuk bertindak terhadap ancaman seperti trojan horses, worms dan spyware yang sering datang dari laman web yang dilayari. Ini secara tidak langsung meletakkan pengguna dalam risiko ruang siber.

Lihat saja berapa banyak aktiviti online yang kita lakukan hari-hari, sama ada menghantar atau menerima emel; berkongsi foto dan fail; bersembang; bermain permainan online; muat turun muzik; video dan sebagainya.

Malangnya, apa saja yang kita simpan dalam komputer berdepan dengan risiko setiap kali kita online termasuk identiti, kata laluan dan maklumat peribadi kita.

Virus komputer hanya sebahagian kecil daripada ancaman komputer. Biasanya, ia dimuat turun secara tidak sengaja dan akan 'tinggal' dalam sebuah fail. Apabila anda membuka fail itu, virus menjadi aktif.

Ini boleh memberi kesan serius. Antaranya, merosakkan sistem komputer, mencuri maklumat identiti anda, menjangkiti fail yang anda hantar kepada orang lain selain tersebar sendiri kepada sesiapa yang berada dalam buku alamat emel anda.



Apakah jenis virus yang biasa menyerang komputer? Fail yang bagaimana boleh dijangkiti virus?

Ada lima virus komputer yang terkenal.

1. Virus file infector - Virus ini menyerang fail program dan lazimnya menyerang kod seperti .com dan fail .exe. Ia boleh menyerang fail lain apabila sesebuah program yang sudah dijangkiti dipasang dari floppy, hard drive atau jaringan (network).

2. Virus boot sector - Menyerang bahagian sistem dalam sebuah disk iaitu rekod boot dalam floppy disk dan hard disk. Semua floppy disk dan hard disk mempunyai program kecil dalam rekod boot yang akan berjalan sebaik komputer mula dihidupkan. Virus Boot Sector menjangkiti bahagian dalam disk ini dan aktifkan apabila anda menggunakan disk yang sudah dijangkiti.

3. Virus master boot sector - Virus jenis menetap di memori ini menyerang disk dengan cara yang sama seperti virus boot sector. Beza antara kedua-dua virus ini adalah di mana kod virusnya terletak. Rekod master boot biasanya menyimpan salinan rekod master boot di lokasi berlainan. Komputer Windows NT yang dijangkiti virus ini tidak akan boot (hidup semula)

4. Virus Multipartite - Menyerang kedua-dua rekod boot dan fail program dan sukar untuk dibaiki. Jika bahagian boot bersih, tapi fail tidak bersih, bahagian boot boleh dijangkiti semula.

5. Virus Mikro - Virus jenis ini akan menyerang fail data. Virus ini adalah yang paling biasa menyerang dan mempunyai kos paling tinggi untuk memperbaikinya.